suria

Industri Pelancongan Melaka Jana Pendapatan RM4.4 Bilion

MELAKA: Industri pelancongan di Melaka telah memberi pendapatan sebanyak RM4.4 bilion kepada mereka yang terlibat dalam industri berkenaan, pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Seet Har Cheow berkata pendapatan itu meningkat 15.8 peratus berbanding RM3.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Mereka yang terlibat dalam industri pelancongan terdiri kebanyakannya pengusaha hotel, resort, chalet, restoran, kedai makan, pusat membeli belah dan perkhidmatan yang berkaitan, katanya kepada Bernama di sini.

Seet berkata bahawa pada tahun lepas, bilangan pelancong yang berkunjung ke Melaka ialah 8.9 juta orang berbanding 7.2 juta orang pada tahun sebelumnya.

Daripada 8.9 juta pelancong itu, sebanyak 7.3 juta orang adalah pelancong dalam negara manakala majoriti pelancong luar negara adalah dari Singapura (277,875 orang), China (201,381 orang) dan Indonesia (136,975 orang).

Kerajaan Melaka menyasarkan sebanyak 8.2 juta pelancong melawat negeri itu pada tahun ini.

Sehingga akhir tahun lepas, terdapat 10,738 bilik penginapan di seluruh negeri manakala purata bermalam pelancong ialah 1.8 malam dan pada tahun ini disasarkan kepada tiga malam.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain