suria

Gempa Bumi 7.2 Skala Richter Landa Acheh

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berskala 7.2 richter melanda wilayah Sinabang, Acheh pada jam 5.15 pagi ini sehingga mencetuskan panik tsunami.

Bagaimanapun Jabatan Meteorologikal Malaysia menarik balik amaran tsunami di tiga wilayah Utara Malaysia.

Dalam perkembangan yang sama, Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta mengesahkan bahawa tiada penuntut Malaysia yang terlibat atau tercedera dalam gempa bumi itu.

Universiti di mana penuntut Malaysia berada ialah Universitas Islam Negeri Ar Raniri Acheh.

Sementara itu, gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di Kota Kuala Muda, kawasan nelayan yang dilanda tsunami pada Disember 2005.

Menurut saksi, kejadian itu tidak menyebabkan panik berikutan siren amaran tsunami yang dipasang oleh Jabatan Meteoroloji berdekatan pantai Kota Kuala Muda tidak dibunyikan.

Gempa tersebut berlaku pada kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang, berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut kira-kira 5.15 pagi ini waktu tempatan, dipercayai turut dirasai di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Pengerusi Taman Permatang Katong (penempatan mangsa tusnami 2005), Yusoof Awang berkata, beliau turut merasai gegaran itu semasa bersiap untuk ke laut menangkap ikan.

"Beberapa rakan nelayan yang berada di tepi pantai merasai gegaran akibat gempa itu kira-kira pukul 6.15 pagi dan menelefon memberitahu saya mengenai kejadian itu," katanya semasa dihubungi hari ini.

Yusoof berkata, beliau bergegas ke tepi pantai untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu sebelum menelefon nelayan-nelayan yang telah pun turun ke laut supaya pulang sebagai langkah keselamatan jika berlaku ombak besar.

"Ada yang baru melabuh pukat terus mengarau pukat... yang telah melabuh pukat memperoleh sedikit tangkapan. Kira-kira pukul 9 pagi ramai antara mereka tiba di pantai," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni Taman Permatang Katong, Salmah Ismail, 75, berkata beliau merasai gegaran semasa dalam perjalanan ke surau taman itu kira-kira 6.15 pagi.

"Gegaran dirasai di sekitar kawasan rumah. Mulanya saya rasa cemas namun menjadi tenang dalam beberapa saat apabila keadaan kembali normal," kata mangsa tsunami pada 2005 itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain