suria

Ekonomi Bumiputera Perlu Capai Tahap 50 Peratus Di Bawah MEB

SHAH ALAM: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) berpendapat ekonomi Bumiputera khususnya Melayu perlu mencapai tahap 50 peratus di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Yang DiPertua DPMMS Tan Sri Rozali Ismail berkata kajian yang menyeluruh perlu dilakukan berdasarkan pembentangan pertama MEB itu dalam usaha memastikan ekonomi Bumiputera dapat ditingkatkan supaya setanding dengan bangsa lain.

"Kalau di bawah Dasar Ekonomi Baru, kita sasarkan ekonomi Bumiputera pada tahap 30 peratus, MEB perlu mampu melonjakkan ekonomi Melayu khasnya sehingga ke tahap 50 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung DPMMS di sini.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu banyak kerja penerangan perlu dilakukan terutamanya dari segi bantuan serta kerjasama pihak bank dan kementerian terhadap usahawan yang mempunyai kemampuan meluaskan perniagaan mereka serta yang baru memulakan perniagaan.

Rozali berkata sehubungan itu juga, 21 badan di bawah Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (GAPUMS) akan mengadakan satu pertemuan pada bulan depan bagi membincangkan reaksi berhubung MEB yang telah diumumkan.

Beliau berkata hasil perbincangan, cadangan dan pendapat itu nanti akan dimajukan kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk dibawa ke pihak Perdana Menteri dalam usaha memantapkan ekonomi negara dan Bumiputera khususnya.

Mengulas mengenai intipati cadangan MEB di mana kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal membina satu hub baharu bagi Lembah Klang di Sungai Buloh dekat sini, Rozali berkata DPMMS berharap agar kerajaan mempertimbangkan supara usahawannya (DPMMS) diberikan peluang untuk menyertai projek berkenaan.

"Kita berharap kerajaan dapat pertimbangkan agar DPMMS berpeluang menyertai projek itu memandangkan ia bakal dibangunkan di Selangor," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan pembangunan berkenaan kepada KWSP selaku pemilik tanah seluas kira-kira 1,200 hektar itu supaya mereka dapat menilai kemampuan DPMMS.

"Kita akan adakan satu jawatankuasa untuk membincangkan berkenaan hal ini selepas mesyuarat hari ini," katanya.

Sehingga hari ini, terdapat 2,774 anggota berdaftar di bawah DPMMS yang terbabit dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sains dan Bioteknologi, Perkhidmatan dan Utiliti, Industri Asas Tani dan Perladangan, Perkilangan dan Pembuatan, Kontraktor Binaan dan Pembangunan Hartanah serta Peruncitan dan Pemborongan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain