suria

BN Tidak Tunggu Pilihan Raya Selesai Isu Geran Tanah

HULU SELANGOR: MCA tidak menganggap masalah pemilikan tanah di Selangor sebagai isu besar kerana perkara itu telah diberikan perhatian sewajarnya ketika Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu sehingga Mac 2008.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Kong Cho Ha berkata, tidak seperti kerajaan negeri di bawah pakatan PKR-DAP-Pas yang hanya menunggu pilihan raya kecil untuk menyelesaikan masalah itu.

"Kenapa tidak lakukan (beri geran tanah) selepas dua atau tiga bulan mengambil alih kuasa, kenapa tunggu selepas dua tahun," kata Kong yang juga Ketua Penyelaras MCA Pusat bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor ketika mengulas mengenai tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengagihkan geran tanah kepada penduduk di kawasan itu sebelum ini.

Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Kampung Baru Dato Harun di Serendah sebelum meneruskan tinjauannya di Kampung Baru Damai dan Kampung Baru Ulu Yam dekat sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak pada 25 Mac lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 17 April dan pengundian 25 April.

Dalam satu majlis berasingan di sini hari ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kira-kira 100,000 keluarga yang menduduki tanah kerajaan melebihi 15 tahun di negeri ini, akan menerima hak milik tanah mereka tidak lama lagi.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Ketua Wanita MCA hari ini, Kong menganggap perkara itu sebagai keputusan peribadi pemimpin terbabit.

"Saya berharap pergerakan Wanita MCA cukup matang untuk menerimanya," katanya yang yakin sayap MCA itu tidak akan berpecah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut