suria

Anggota Panel Perundingan Penasihat SPRM Tiada Kuasa Buat Kenyataan Terbuka

KUALA LUMPUR: Anggota Panel Perundingan Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan kes-kes siasatan SPRM secara terbuka terutamanya kes yang masih dalam siasatan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata terdapat peruntukan yang jelas mengikut Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009, di mana sesuatu aduan itu tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang.

"Aduan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai suruhanjaya dan pendakwa raya sehinggalah tertuduh dipertuduhkan di mahkamah.

"Sebarang pendedahan hanya boleh dibuat dengan persetujuan pendakwa raya atau seorang pegawai suruhanjaya yang berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) yang ingin tahu mengenai bidang kuasa anggota Panel Perundingan Penasihat SPRM serta sama ada mereka boleh membuat kenyataan terbuka bagi pihak SPRM terhadap sesuatu kes yang sedang atau belum disiasat.

Liew berkata sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana anggota berhubung siasatan SPRM adalah dibuat atas kapasiti peribadi dan kenyataan tersebut tidak boleh dikaitkan dengan SPRM.

Menjawab soalan tambahan Ismail mengenai mekanisme untuk membendung perkara tersebut, beliau mencadangkan supaya SPRM mewujudkan satu kod etika bagi mengawal anggota panel daripada memberikan kenyataan secara terbuka.

"Satu langkah wajar oleh SPRM ialah mewujudkan satu kod etika untuk ahli-ahli dalam panel ini atau garis panduan yang mungkin tidak jejaskan perjalanan siasatan...mereka bebas buat kenyataan tetapi atas kapasiti sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain