suria

Sudah Terlalu Banyak Cuti Am Di Malaysia: Zahid

ALOR GAJAH: Malaysia sudah mempunyai terlalu banyak cuti am yang digazetkan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Justeru katanya, hormati sahaja cuti sedia ada daripada meminta kerajaan menggazetkan cuti am baru.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Murni sempena Eksesais Malindo Latgabma Darsasa 2010 di sini, diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta 14 April diisytihar sebagai cuti umum sempena sambutan Vaisakhi, iaitu tahun baru bagi kaum Sikh.

Karpal dalam kenyataannya semalam menggesa dua negeri yang ditadbir kerajaan pakatan pembangkang, iaitu Selangor dan Pulau Pinang agar berbuat demikian selain menyarankan kerajaan persekutuan menimbangkan keputusan serupa.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Naib Presiden Umno itu berkata, Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk merampas semula kerusi itu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana katanya, kawasan itu adalah kubu kuat BN sebelum pilihan raya umum 2008. - BERNAMA

Artikel Lain