suria

Polis Tahan Enam Termasuk Seorang Wanita Geng Pecah Rumah

NIBONG TEBAL: Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita dipercayai anggota kumpulan yang dikenali sebagai 'Geng Lap Top' yang terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Pulau Pinang dalam beberapa operasi sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, kesemua mereka yang berumur antara 25 dan 41 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata, polis percaya penangkapan anggota kumpulan penjenayah itu boleh membawa kepada penyelesaian sekurang-kurangnya 21 kes pecah rumah di Pulau Pinang.

"Kami berjaya menangkap mereka apabila kami menahan seorang lelaki warga Indonesia setengah jam selepas dia memecah masuk sebuah rumah di Taman Pekaka di sini kira-kira pukul 5.30 pagi pada 1 April lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ekoran penahanan lelaki itu polis menemui sebuah beg berisi pelbagai barang curi antaranya komputer riba, telefon bimbit serta kamera digital, dan ketika ditahan lelaki itu dikatakan sedang menunggu rakannya di tepi jalan.

"Sebaik ternampak kereta peronda polis dia mencampakkan begnya ke tepi jalan dan cuba melarikan diri, bagaimanapun dia berjaya ditahan polis," katanya.

Susulan penahanan itu, Shafien berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki berperanan membawa lelaki Indonesia berkenaan ke kawasan perumahan untuk menjalankan aktiviti pecah rumah.

"Hasil maklumat lanjut, polis menahan sepasang kekasih di Sungai Petani yang dipercayai bertanggungjawab mengubahsuai dan membaiki komputer-komputer riba yang dicuri, sebelum menjualnya dengan harga yang murah," katanya dan menambah siasatan lanjut mendapati pasangan kekasih itu positif dadah jenis heroin.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki tempatan yang mempunyai kaitan dengan geng itu bagi membantu siasatan dan polis kini giat berusaha mengesan saki baki geng berkenaan yang dipercayai masih bergerak aktif.

Katanya, hasil penahanan kesemua mereka, polis merampas 20 komputer riba, 17 telefon bimbit, 14 kamera digital dan beberapa peralatan komputer yang semuanya bernilai RM75,000. - BERNAMA

Artikel Lain