suria

NGO Sambut Baik Pengharaman Jualan Rokok 14 Batang

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan hari ini menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan pengharaman penjualan rokok 14 batang berkuatkuasa 1 Jun tahun ini.

Menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohamed Sha'ani Abdullah, pihaknya sangat menyokong langkah kerajaan terutamanya bagi membasmi gejala merokok di kalangan perokok baru.

"Kita menyokong cadangan yang bakal dilaksanakan ini terutamanya kepada perokok baru. Tambahan perkara ini pernah ditimbulkan oleh FOMCA pada 2007 namun pihak industri tidak bersedia kerana mereka mendakwa masih mempunyai stok yang banyak," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan perlaksanaan peraturan ini, pihaknya berharap ianya adalah salah satu strategi dalam mengurangkan gejala merokok di kalangan remaja.

"Kami melihat cadangan ini adalah salah satu langkah awal kerajaan dalam membendung peningkatan jumlah perokok di negara ini terutamanya di kalangan remaja itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusoff Abdul Rahman berkata pihaknya amat mengalu-alukan hasrat kerajaan dalam mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat negara ini.

"Sebelum ini, kerajaan hanya menguatkuasakan harga minimum 20 batang rokok dan bagi harga minimum 14 batang rokok, ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Mohd Yusoff berharap dengan pengharaman penjualan rokok 14 batang, ia mampu mengurangkan tabiat merokok di kalangan remaja terutamanya pelajar sekolah.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap agar kerajaan dapat mengetatkan penguatkuasaan larangan merokok terutamanya di kalangan pelajar sekolah.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia,Datuk Paduka Nadzim Johan pula berkata pihaknya menyokong penuh usaha yang dilakukan kerajaan dalam mengurangkan jumlah perokok baru di negara ini.

"Lagi cepat, lagi bagus supaya perkara ini tidak merebak seperti penyakit berjangkit," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengetatkan lagi penguatkuasaan terutama dari segi pengiklanan bagi mengurangkan penjualan rokok kepada remaja. - BERNAMA

Artikel Lain