suria

Geng Kapak Mengganas Di Sekolah Di Pahang

PEKAN: Seorang pelajar tingkatan tiga di sini yang sering menjadi mangsa buli dan peras ugut rakan-rakan sekelasnya telah dibelasah dengan kerusi dan ditumbuk apabila dia akhirnya membuat laporan kepada pengetua kerana tidak tahan lagi dibuli. Mangsa yang merupakan seorang murid perempuan mendakwa telah menjadi mangsa empat pelajar lelaki dari kelasnya. Kumpulan itu mengelar diri mereka “Geng Kapak”.

Kumpulan samseng sekolah itu telah bertindak menyerang dan memukul mangsa di dalam kelas pada lebih kurang pukul 1 petang Selasa lalu, disaksikan oleh seluruh kelas berkenaan sebaik sahaja pengetua masuk ke kelas itu dan bertanyakan kumpulan pelajar lelaki berkenaan.

Pada masa itu mereka tidak berada di dalam kelas berkenaan.

Ketua Polis Pekan Superintenden Yahya Othman yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes tersebut kini sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas orang lain.

Ibu bapa mangsa telah mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah berkenaan semalam.

Mangsa yang ditemui di kediamannya di sini memberitahu dia telah menjadi mangsa buli hampir setiap hari sejak Februari lalu.

“Biasanya mereka memeras ugut dengan meminta wang sekurang-kurangnya 50 sen atau satu ringgit. Malah mereka bertindak dengan membuat pemeriksaan badan ke atas saya bagi mencari wang dalam saku saya,” katanya.

Untuk mengelak dirinya daripada terus menerus menjadi mangsa peras ugut wang, mangsa telah menyembunyikan wang sakunya di dalam kasut. Mangsa yang baru sahaja berpindah ke sekolah berkenaan awal tahun ini menambah, ada kalanya kumpulan buli itu tidak semena-mena menghantuk kepalanya ke dinding dan mengugutnya dengan pisau dan juga serpihan kaca.

“Kumpulan ini tidak takut kepada sesiapa pun dan kumpulan empat budak lelaki ini bukan sahaja membuli dan mendera saya malah pelajar-pelajar lain juga,” katanya.

Kini kata mangsa, dia takut untuk kembali belajar di sekolah itu lagi.

Sementara itu ibu mangsa mendedahkan anaknya sering mengadu menjadi mangsa buli setiap kali pulang dari sekolah.

‘’Saya hanya mampu menasihati dia supaya mengadu kepada pentadbiran sekolah tetapi keadaannya sangat teruk apabila dia pulang dari sekolah semalam. Dia kelihatan berjalan terhoyong hayang,” kata ibu mangsa.

Ekoran kejadian itu, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada jam 3.30 petang semalam.

Artikel Lain