suria

Enam Maut Akibat Denggi Di Sarawak Sejak Januari Tahun Ini

KUCHING: Seorang lelaki berusia 51 tahun dari Betong yang meninggal dunia pada 23 Mac lepas adalah korban terbaru demam denggi di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan enam orang sejak Januari tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan berkata, lima lagi kematian yang dicatatkan ialah dua di Kuching dan masing-masing satu di Samarahan, Miri dan Serian.

"Bagaimanapun, jumlah kes demam denggi menunjukkan trend menurun bermula minggu pertama tahun ini," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini situasi denggi dan chikungunya di Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata, wabak yang bermula sejak Sept lepas itu paling teruk melanda Miri, Sibu, Kuching, Bintulu dan Lundu dan ketika kemuncak wabak antara 250 dan 300 kes dilaporkan setiap minggu.

"Sekarang daerah yang masih aktif penyebaran wabak ini ialah Miri dengan 417 kes dan Sibu sebanyak 280 kes," katanya.

Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan negeri berkata, sejak Januari hingga 3 April tahun ini, sebanyak 1,638 kes denggi dilaporkan, manakala sepanjang tahun lepas sebanyak 4,564 kes denggi dengan enam kematian dilaporkan.

Mengulas mengenai jangkitan Influenza A (H1N1), Dr Chan berkata, sebanyak 27 kes positif dilaporkan di negeri itu sehingga Isnin lepas.

Bagaimanapun jangkitan wabak itu juga menunjukkan trend menurun setakat ini, katanya menambah sebanyak 19,500 dos vaksin H1N1 disediakan di hospital dan klinik kerajaan untuk kumpulan berisiko seperti wanita mengandung dan mereka yang menghidap penyakit kronik. - BERNAMA

Artikel Lain