suria

Dua Maut, Tiga Parah Dalam Kemalangan Di Jalan Loke Yew

KUALA LUMPUR: Dua maut manakala tiga yang lain parah dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta di Jalan Loke Yew di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu berlaku ketika kereta yang dipandu Yong Beng Huat, 40, bersama rakan wanitanya Tan May Ling, 39, dari arah Cheras menghala ke ibu negara hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback di laluan sama yang dinaiki tiga lelaki berusia lingkungan 30-an.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, akibat rempuhan itu kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa itu merempuh sebatang pokok di pembahagi jalan manakala Proton Wira Aeroback itu turut merempuh sebatang pokok dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kereta dan mati di tempat kejadian manakala tiga penumpang kereta Proton Wira Aeroback itu terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Hang Tuah sejam kemudian akibat tersepit dalam kereta.

"Ketiga-tiga mangsa yang parah dan mayat kedua-dua mangsa tersebut dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain