KUANTAN: Lapan awak-awak dan seorang tekong warganegara Thailand ditahan selepas memukat pelbagai jenis ikan seberat 4,000 kilogram di pelantar minyak Malong, kira-kira 85 batu nautika dari pantai Kuantan, semalam.Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuantan Kapten Abdul Aziz Idrus berkata bot pukat tunda yang dinaiki mereka itu dikesan kira-kira 7 pagi oleh kapal APMM, KM Lang yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu. "Ketika mendekati mereka, pegawai APMM mendapati nelayan asing itu sedang menarik pukat tunda sebelum tekong terbabit diarah menarik semula pukat itu ke atas bot," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.Beliau berkata bot pukat tunda berkenaan dibawa ke jeti Geliga Slipway dekat Kemaman manakala kesemua nelayan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.Siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, tekong bot itu boleh dikenakan denda RM1 juta manakala awak-awak didenda RM100,000 seorang.Abdul Aziz berkata APMM turut merampas pelbagai jenis ikan seberat 3,000kg dan 1,000kg ikan baja yang kemudian dilelong di jeti tersebut kepada peraih tempatan."Penangkapan ini merupakan kali keenam pada tahun ini yang melibatkan nelayan asing memukat di kawasan tersebut," katanya. - BERNAMA