suria

Polis Temui 'Buku Resipi' Cara Proses Dadah Di Rumah Sewa Pelakon

KUALA LUMPUR: Polis menemui sejumlah peralatan untuk memproses dadah yang dipercayai disembunyikan oleh seorang pelakon dalam sebuah setor berkunci di tingkat 10 sebuah kondominium di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis turut merampas 'thumbdrive' yang mengandungi 'buku resipi' memproses dadah jenis Syabu atau nama kimianya Methamphetamine, serta beberapa video mengenai cara-cara membuat dadah jenis itu.

"Selepas penahanan suspek pada 25 Mac lalu, polis menemui sejumlah peralatan seperti balang kaca, silinder, penunu bunsen dan mesin pengisar yang disembunyikan di kondominium tersebut.

"Penemuan pada 31 Mac itu hasil daripada pengakuan suspek sendiri. Suspek yang menyewa sebuah rumah bersama isterinya di tingkat enam, menunjukkan tempat dia menyembunyikan peralatan tersebut yang disimpannya dalam dua kotak di tingkat 10," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, polis percaya ada lagi individu yang terlibat sama dan sedang disiasat.

Beliau berkata, polis akan memajukan laporan siasatan kepada Kementerian Dalam Negeri dan menteri sendiri akan membuat keputusan sama ada akan menghantar suspek ke Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam atau Muar selama dua tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain