suria

Polis Buru Perompak Tembak Mati Rakan Selepas Samun

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat memburu seorang perompak yang nekad menembak mati rakannya sebelum melarikan diri dalam kes rompakan di sebuah kedai emas di Plaza OUG, Puchong semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis akan mengeluarkan fotofit suspek sejurus mendapat lakaran wajah yang lebih jelas berdasarkan kamera litar tertutup yang dipasang di premis tersebut.

"Polis mendapat alamat penjenayah yang mati dan telah pergi ke rumahnya di sekitar Selangor bagi mendapatkan maklumat mengenai rakannya tetapi sehingga kini kita belum mendapat sebarang maklumat.

"Semalam kita sudah cari di kawasan sekitar namun masih gagal menemuinya, bagaimanapun kita akan terus menyiasat dan memburu suspek serta akan mengeluarkan fotofit setelah berjaya mengenalpasti suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang mati mempunyai kes lampau membabitkan samun dan dadah dan polis sedang menunggu laporan perubatan sama ada suspek yang belum berkahwin itu terlibat dalam penggunaan dadah.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan pengawal keselamatan yang tidak mengejar suspek yang lari kerana memikirkan keselamatan orang awam.

"Jika pengawal keselamatan itu mengejar, mungkin akan berlaku kejadian berbalas tembakan dan akan mendatangkan ancaman pada orang awam yang sedang makan di restoran makanan segera bersebelahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain