suria

Polis Belum Hubungi Saya - Zulkifli Nordin

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata pihak polis belum menghubunginya bagi mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau ditawar ganjaran besar untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh, Anggota Parlimen Bebas itu berkata beliau akan menemui pihak polis jika dipanggil berbuat demikian.

"Insya-Allah saya akan memberi kerjasama penuh tetapi mungkin selepas saya pulang dari luar negara nanti kerana saya akan ke luar negara dalam masa terdekat ini. Kalau dipanggil saya akan pergi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Pada 24 Mac lepas, Zulkifli yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan ditawar ganjaran yang mampu 'menggoyahkan iman' untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Kenyataan itu dibuat beliau semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Sehari selepas itu Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dilapor berkata siasatan lanjut akan dilakukan terhadap pendedahan Zulkifli dan akan memanggil anggota Parlimen itu untuk diambil keterangan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain