suria

PM Kata 1Malaysia Bukan 1Israel

SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep 1Malaysia ialah idea asal dan bukan ditiru dari Israel atau dari mana-mana di dunia.

"Ia adalah idea saya dan sesetengah rakan saya" kata beliau di hadapan lebih 100 wartawan asing yang berpejabat di Singapura pada jamuan makan gala anjuran Persatuan Koresponden Asing (FCA) Singapura di sini malam ini.

Katanya konsep 1Malaysia adalah ciptaan Malaysia dan beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia berasal dari Israel atau negara lain.

Baru-baru ini, ketua pembangkang Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa konsep 1Malaysia Najib ada persamaan dengan konsep "One Israel".

Perdana Menteri itu berkata sungguhpun konsep satu bukan baru kerana banyak negara seperti China menggunakannya untuk mempromosi semangat pemilikan atau bersama-sama di kalangan rakyatnya, konsep 1Malaysia lebih daripada itu, iaitu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Najib yang tiba di sini lewat petang tadi dengan diiringi isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor untuk menghadiri jemputan FCA, berucap selama setengah jam sebelum sesi soal jawab selama 45 minit.

Perdana Menteri memulakan ucapannya dengan panjang lebar mengenai konsep 1Malaysia dengan mengatakan ketika beliau mengambil alih jawatan itu beliau menyedari bahawa pengundi mahukan satu perubahan transformasi yang besar dan bukan secara pertambahan dalam mentadbir negara.

Beliau berkata tsunami politik pada pilihan raya umum 2008 apabila Barisan Nasional (BN) buat kali pertama hilang majoriti dua-pertiga di Parlimen, menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan politik dan ekonomi yang besar di Malaysia.

Najib menerangkan bagaimana konsep 1Malaysia diilhamkan dan ia menjadi satu program yang berjaya seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Ekonomi Baru (MEB), yang menjadi tonggak utama konsep itu.

Beliau berkata konsep itu merupakan satu falsafah panduan untuk kerajaan Malaysia memberikan khidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan budaya, yang menekankan bahawa hasrat utama mana-mana kerajaan ialah untuk berkhidmat kepada rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain