suria

Pemandu Lori Berhenti Beli Rokok Maut Dilanggar Motosikal

KUANTAN: Seorang pemandu lori balak maut dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan selepas membeli rokok, di Km 112.8 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Maran malam tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden (DSP) Ahmad Johari Shahabudin berkata dalam kejadian pukul 9 malam itu, M. Bakkirisamy, 52, dalam perjalanan menuju ke Maran sebelum memberhentikan lori balak tanpa muatan yang dipandunya untuk membeli rokok di kedai yang berada di seberang jalan.

"Selepas membeli rokok, dia kemudian melintas jalan untuk kembali ke arah lorinya dan dilanggar oleh sebuah motosikal yang datang dari arah Maran.

"Dia mengalami cederah parah di bahagian kepala dan badan, dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Temerloh," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Penunggang motosikal itu, Shafwan Abdul Razak Adam, 20, turut mengalami cedera parah di kepala dan kini dirawat di hospital yang sama, katanya.

Dalam kemalangan berasingan, seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas di Km 18.6 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu yang berlaku ketika keadaan berkabus, Mohamad Sharif Mohd Akil, 58, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Jengka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain