suria

Lagi Taktik Baru Warga Iran Seludup Dadah

SHAH ALAM: Warga Iran masih tidak serik menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan sering bertukar taktik.

Namun walau apapun taktik yang mereka gunakan, mereka tidak dapat menyembunyikan sikap mereka yang mencurigakan di mata pihak berkuasa negara ini.

Taktik baru yang dikesan ialah menyembunyikan dadah di dalam ruang kosong pada pemegang bagasi yang mereka bawa.

Sebelum ini ramai yang dikesan membawa dadah yang disorok di dalam bagasi mereka dan terdapat juga yang membawa dadah di dalam bengkung di badan mereka.

Taktik menyembunyikan dadah pada pemegang bagasi dikesan apabila polis menahan lima lelaki Iran dalam tiga tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang baru-baru ini.

"Mereka dilihat tidak menarik besi pemegang bagasi yang boleh laras ketika membawa bagasi.

"Sebaliknya mereka heret dan pegang pemegang biasa pada beg dan mereka juga hanya membawa beberapa helai pakaian walaupun bagasi yang dibawa bersaiz besar," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner (ACP) Nordin Kadir kepada pemberita di sini hari ini.

Nordin berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui syabu yang disorokkan dalam ruang kosong bahagian besi pemegang bagasi yang mereka bawa.

Beliau berkata dengan tangkapan pada Sabtu, Ahad dan Isnin minggu lalu itu, polis berjaya mematahkan cubaan sindiket berkenaan untuk menyeludup keseluruhan 2.55 kilogram syabu bernilai RM625,000 ke dalam negara ini.

Mengulas mengenai tangkapan itu, beliau berkata dua suspek berumur 24 dan 26 tahun ditahan pada kira-kira 10.50 malam pada 29 Mac ketika baru tiba dengan penerbangan dari Dubai.

Mereka membawa 1.5 kg syabu di mana polis turut merampas pelbagai mata wang asing dan RM317 dari kedua-duanya yang pernah masuk ke negara ini antara dua dan tiga kali.

Pada 3 April pula, polis menahan seorang lagi suspek berusia 32 tahun kira-kira 8.40 pagi yang membawa 0.45 kg syabu dan mata wang asing.

Tangkapan seterusnya ialah kira-kira 7.30 pagi pada 4 April ke atas dua suspek yang masing-masing berusia 24 tahun yang membawa 600 gram syabu serta mata wang asing.

Jika disabit kesalahan, hukuman yang menunggu mereka ialah digantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain