suria

Kerajaan Pulau Pinang, Selangor Didesak Isytihar Vaisakhi Cuti Umum

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor mengisytiharkan 14 April sebagai cuti umum di negeri berkenaan sempena sambutan Vaisakhi.

Beliau berkata, permohonan bagi sambutan Vaisakhi dijadikan cuti umum itu merupakan satu alasan munasabah bagi meraikan kedatangan tahun baru penganut Hindu dan Sikh di negara ini.

"Saya meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor yang kini ditadbir parti pakatan untuk mengambil langkah berani bagi mengisytiharkannya sebagai cuti di negeri masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Karpal berkata, Kerajaan Persekutuan juga sepatutnya menimbangkan secara serius untuk mengumumkan perayaan itu sebagai cuti umum kebangsaan, seiring dengan konsep 1Malaysia.

Sementara itu, Presiden Malaysia National Sikhs Movement (Geraksikh), Tan Sri Darshan Singh yang turut menyokong gesaan itu berkata, masyarakat Sikh merupakan sebahagian keluarga besar yang dikenali sebagai 1Malaysia.

"Ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengiktiraf semua kaum secara adil bagi sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Darshan berkata, Vaisakhi yang merupakan hari yang amat penting dalam kalendar Sikh dan kebetulan disambut pada tarikh yang sama dengan tahun baru bagi penganut Hindu, akan menjadi hadiah sempurna bagi kaum Sikh dan Hindu jika 14 April diumumkan sebagai cuti umum.

"Kaum Sikh yang mula-mula tiba di negara ini telah berkhidmat dalam pasukan keselamatan dan setia kepada negara ini, mereka juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain