suria

Jangan Bangkit Soal Siapa Calon BN - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) supaya tidak membangkitkan siapa yang bakal menjadi calon parti itu pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri, berkata mereka perlu menerima apa juga keputusan parti dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon BN.

"Siapa-siapa yang diputuskan oleh parti...ringan ke, berat ke, terpaksa kita dokong...galas.

"Jangan pula kita merengek, mengutuk," katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan tengah hari meraikan setiausaha-setiausaha politik di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini, MIC dilaporkan meminta kerusi itu dikekalkan kepada parti berkenaan tetapi terdapat cadangan akar umbi agar Umno bertanding di situ.

Hulu Selangor pernah diwakili oleh Datuk G.Palanivel dari MIC selama tiga penggal tetapi dalam pilihan raya umum yang lepas, beliau kalah kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR, Zainal Abidin meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil di situ ditetapkan 17 April ini.

BN dijadual mengumumkan nama bakal calonnya dua hari sebelum itu.

Najib berkata setiap anggota dan pemimpin BN perlu bekerja sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kemenangan calon parti itu.

"(Mungkin yang bertanding) hari ini Umno, esok MIC lusa MCA, lepas itu parti lain di Sabah dan Sarawak, kalau ada pilihan raya kecil...kita tidak tahu," katanya

Perdana Menteri berkata pilihan raya kecil di Hulu Selangor amat penting kepada BN bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat terhadap parti itu sekarang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain