suria

Isu APCO: Anwar Cuba Heret Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengheret Majlis Raja-Raja dalam usahanya supaya tindakan diambil ke atas kerajaan dalam isu APCO Worldwide.

Menurut Anwar, beliau akan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menjelaskan mengenai isu tersebut dengan mengemukakan bukti berkaitan pendedahannya baru-baru ini.

"Wajar juga sebagai Ketua Pembangkang saya menulis kepada Yang di-Pertuan Agong dengan memberikan fakta dan keterangan selain daripada apa yang saya dedahkan di Parlimen minggu lalu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai notis bagi merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya di dalam Dewan yang mengaitkan 1Malaysia dengan 1Israel.

Menurut beliau surat berkenaan akan dihantar kepada pihak istana pada hari ini.

Sementara itu, ketika diminta penjelasannya sama ada beliau mempunyai pendirian anti Israel, beliau berkata: "Tak ada anti Yahudi, saya tak perlu jawab, saya dah ulang kerana ini bukan soal anti Yahudi, tapi soal keselamatan, risikan, penglibatan APCO dan kita terpedaya.

"Klinik 1Malaysia, Yayasan 1Malaysia, persamaannya terlalu besar."

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) turut merayu agar Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas dengan kadar segera bagi membuat keputusan berhubung isu APCO.

"Hari ini saya ingin merayu kepada Majlis Raja-Raja supaya memandang serius isu ini dan memanggil mesyuarat khas.

"Kita minta Majlis Raja-Raja membuat keputusan supaya kerajaan membatalkan semua urusan yang berkaitan dengan perjanjian yang dibuat dengan APCO," katanya.

Anwar semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu telah mendakwa bahawa pada 2009 firma perunding asing, APCO Worldwide memberi nasihat berhubung konsep 1Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ekoran itu, beliau diminta membuat penjelasan di Dewan Rakyat berhubung dakwaannya itu namun, pada penjelasan yang dibuatnya, ketua pembangkang itu tidak menjawab persoalan pokok berhubung apa yang didakwanya.

Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk membawa usul bagi merujuk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran tindakannya yang cuba mengelirukan Dewan Rakyat setelah membuat penjelasan mengenai dakwaannya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain