suria

IMN Diperintah Bayar RM70,000 Kepada Aktres Kollywood Berhubung Artikel Memfitnah

KUALA LUMPUR: Aktres Selatan India (Kollywood), G. Yuvarani, pelakon utama siri "Chitti" yang popular di Selatan India dan Malaysia yang disiarkan melalui saluran Astro, diberikan RM70,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini berhubung dua artikel memfitnah yang disiarkan dalam majalah hiburan utama Tamil, Indian Movie News (IMN) 12 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Varghese George Varughese memerintahkan tiga defendan pengedar di Malaysia, Mentakab Agency (M) Sdn Bhd; penerbit, Indian Movie News Publications (M) Sdn Bhd dan pengedar di Singapura, Indian Movie News Publication Pte Ltd, membayar ganti rugi itu kepada aktres itu.

Beliau juga memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kepada plaintif kos dan faedah pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman pada 1 April sehingga tarikh bayaran sepenuhnya.

Varghese dalam penghakiman bertulisnya yang diedarkan kepada media hari ini menyatakan mahkamah bersetuju dengan defendan pertama, Percetakan Kum Sdn Bhd yang mencetak majalah IMN, bahawa syarikat itu tidak tahu atau mempunyai kaitan dalam penerbitan artikel memfitnah itu semasa ia bersetuju untuk mencetak dua isu IMN pada April dan Ogos 1998.

Katanya defendan pertama telah berjaya membuktikan kepada mahkamah yang mereka mempunyai pembelaan yang kukuh berhubung penerbitan dua artikel memfitnah itu.

Mengenai tiga lagi defendan, Varghese memutuskan mereka gagal membuktikan justifikasi pembelaan mereka dan dengan itu bertanggungjawab bagi penerbitan artikel itu.

Varghese berkata editor IMN, semasa memberikan keterangan di mahkamah gagal menamakan akhbar atau majalah di India yang didakwa menyiarkan artikel mengenai Yuvarani, yang para defendan dakwa disiarkan secara meluas di Tamil Nadu.

"Adalah jelas kepada mahkamah ini bahawa tiada pengesahan dibuat oleh mereka yang bertanggungjawab di IMN untuk memeriksa atau mendapatkan pengesahan daripada plaintif berhubung kenyataan dalam dua isu IMN itu sebelum diterbitkan," kata Varghese.

Katanya para defendan juga gagal mengemukakan sebarang keterangan kukuh mengenai kesahihan kenyataan itu.

Yuvarani, 35, yang berkahwin dengan ahli perniagaan Malaysia dari Klang, memfailkan saman memfitnah pada 2003 mendakwa artikel itu mengandungi tuduhan yang serius terhadap dirinya dengan memberikan gambaran seolah-olah beliau seorang aktres yang tidak bermoral yang telah mengenepikan nilai-nilai tradisi.

Yuvarani diwakili peguam M. Manoharan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain