suria

Hukuman Penjara 40 Hari Terhadap Lelaki Minum Arak Ditangguh

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 40 hari terhadap seorang penjaga parkir kerana kesalahan minum arak, dua tahun lepas.

Hakim Syarie Abu Bakar Mohd Daud membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan peguam syarie Musa Awang yang mewakili Hairul Abu Kasim, 28, dari Petaling Jaya.

Tertuduh diperintahkan membayar jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor selesai.

Pegawai Pendakwa Syarie Muhammad Nazri Basrawi dari Jabatan Agama Islam Selangor hadir bagi pihak responden.

Hairul yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 22 Mei 2008, didakwa bersama tiga lagi rakannya, Shahrani Abd Raub, 22, Muhammad Othman Rahmat, 20, dan Hairul Nizam Sabtu, 20, minum minuman memabukkan jenis "CLUB" (700 ml) di pondok rehat Taman Awam PJS 10/24, Petaling Jaya, kira-kira pukul 10.15 malam pada 26 Jan 2008.

Menurut fakta kes, kesemua tertuduh didapati berkongsi minum minuman keras terbabit.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad mengenakan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,900 atau lima bulan penjara terhadap keempat-empat tertuduh yang mengaku bersalah kerana kesalahan mengikut Seksyen 18 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Hairul yang tidak berpuas hati dengan hukuman itu kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan semalam Abu Bakar memutuskan untuk mengekalkan hukuman denda terhadap tertuduh tetapi mengurangkan hukuman penjara daripada lapan bulan kepada 40 hari.

Tertuduh bagaimanapun memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 40 hari itu bagi membolehkan pihaknya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain