suria

Hari Bersejarah Buat MCA: Penyerahan Tugas Presiden Buat Pertama Kalinya...

KUALA LUMPUR: Tengah hari ini, Presiden baru MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat akan bersua muka secara rasmi semenjak berakhirnya pemilihan pucuk pimpinan baru parti itu 28 Mac lalu.

Juga buat pertama kalinya dalam sejarah 60 tahun MCA, satu majlis penyerahan tugas secara rasmi akan dilakukan di antara bekas presiden dan presiden baru.

Ini semua adalah satu permulaan kepada MCA yang baru yang menjanjikan satu perubahan dan satu penyatuan demi masa depan organisasi politik masyarakat Cina terbesar Malaysia itu.

Sebagai permulaan ke arah penyatuan semula itu, para pemerhati tertunggu-tunggu apakah Soi Lek akan melantik calon naib presiden yang tewas iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha sebagai setiausaha agung parti yang baru.

Pada pemlihan baru-baru ini, Cho Ha tewas di tangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam hirarki politik MCA, selepas presiden dan timbalan presiden, setiausaha agung adalah orang ketiga paling berkuasa dan berpengaruh kerana ia mentadbir urusan ibu pejabat dan perjalanan parti.

Jika pelantikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjadi kenyataan, ia adalah satu keputusan yang benar-benar mengambil kira kepentingan semua fraksi dalam MCA.

Pada masa yang sama, Soi Lek juga dijangka mengumumkan pelantikan bendahari parti yang baru, setiausaha kerja parti, ketua penerangan dan juga lapan ahli jawatankuasa pusat tambahan.

Presiden baru itu juga perlu melantik ketua-ketua perhubungan negeri yang baru atau pun mengekalkan muka-muka lama yang sedia ada.

Ramai yang menjangkakan Datuk Seri Tan Chai Ho akan dilantik sebagai bendahari agung manakala Datuk Tee Siew Kiong sebagai setiausaha kerja parti yang baru.

Dan kesemua pengumuman tersebut dijadualkan akan dilakukan esok iaitu selepas mesyuarat jawatankuasa Pusat MCA yang pertama selepas pemilihan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain