suria

Tindakan Afirmatif Kekal, Adil dan Telus - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menghapuskan polisi tindakan afirmatif tetapi akan melaksanakannya dengan adil dan telus bagi meningkatkan kehidupan 40 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan polisi akan lebih mesra pasaran, lebih berasaskan merit dan keperluan.

"Misalnya, jika saya kata anda mahu membasmi kemiskinan, jika anda mahu menangani 40 peratus populasi berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan, anda juga mesti menjaga bukan Melayu atau bukan bumiputera.

"Apabila anda bercakap mengenai bumiputera, ianya bukan sekadar orang Melayu, bagaimana dengan Iban, Kadazan, Bidayuh, dan sebagainya, mereka juga Bumiputera dan mereka juga mempunyai hak yang sama," katanya dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam tadi, sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.

"Janganlah kita terlalu taksub dengan cara tertentu dalam melihat sesuatu perkara, tetapi biarlah kita melihat dengan cara yang dapat mencetuskan rasa kita bersama-sama sebagai sebuah negara dan satu bangsa."

Najib menjawab soalan berkenaan Perkasa, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang menyatakan 67 peratus kekayaan di negara ini patut dimiliki kaum itu. Wawancara khas bertajuk "Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri" dikendalikan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Zulkefli Salleh dan Editor Meja Ekonomi Mikhail Raj Abdullah.

Najib berkata matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan per kapita dari AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam masa 10 tahun seperti yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru sebagai pendapatan purata.

"Takkan semua akan dapat US$15,000. Jadi kita mesti faham. Mana-mana negara pun begitu juga. Ada yang miskin, ada yang kaya. Tetapi kita hendak yang miskin jangan terlalu miskin sampai begitu daif," kata beliau.

Perdana Menteri juga menggesa majikan agar meningkatkan suasana pekerjaan dan menetapkan gaji lebih tinggi untuk menarik rakyat Malaysia menerima pekerjaan yang dianggap kotor dan bahaya yang kini dikuasai buruh asing yang murah.

"Saya percaya majikan patut berbuat demikian dan tidak terlalu mudah mengambil pekerja asing. Dan jika kita boleh menaikkan levi pekerja asing sama dengan jumlah pekerja yang mahu mereka ambil, maka akan lebih masuk akal daripada segi bisnes dan ekonomi untuk mengambil rakyat Malaysia bukan warga asing," katanya.

Najib bercakap mengenai anjakan paradigma untuk mengubah Malaysia daripada sebuah negara pengeluar dengan kos rendah kepada ekonomi berasaskan inovasi dalam usaha menarik bakat termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara kerana gaji yang ditawarkan lebih baik.

Cara untuk bergerak ke hadapan ialah dengan menaikkan gaji kepada tahap yang lebih tinggi bagi membolehkan rakyat menikmati pendapatan yang lebih baik dan kehidupan berkualiti serta menarik bakat dari seluruh dunia.

Gaji bagi 1.2 juta penjawat awam juga akan diselaras jika produktiviti meningkat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain