suria

Tiga Penyamun Ditembak Mati Di Temerloh

TEMERLOH: Tiga penyamun warga asing ditembak mati oleh polis selepas mereka menyamun sebuah rumah di Bukit Keramat, Mentakab dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Pahang, Asisten Komisioner (ACP) T. Narenasagaran memberitahu pemberita bahawa polis bertindak setelah penjenayah menyerang anggota polis menggunakan parang selepas kereta curi yang dinaiki mereka terbabas.

Katanya tiga lelaki dipercayai warga negara Indonesia dan berusia awal 20-an dan 30-an itu mati di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, beberapa anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah menerima maklumat mengenai satu rompakan di sebuah rumah di Bukit Keramat pada pukul 3.45 pagi.

"Tidak lama selepas itu, pasukan polis berkenaan terserempak dengan suspek yang menaiki sebuah kereta dan mengekorinya sehingga ke Jalan Taman Jelutung," katanya.

Narenasagaran berkata polis mengarahkan suspek supaya berhenti namun mereka tidak endahkan sebaliknya memecut kereta sebelum terbabas di satu tebing bukit.

"Ketiga-tiga suspek berkenaan yang masing-masing membawa parang keluar daripada kereta tersebut lalu menyerang anggota polis dan polis melepaskan tembakan menyebabkan mereka rebah dan mati di tempat kejadian," katanya.

Polis menemui empat bilah parang panjang, seutas rantai dan empat bentuk cincin, wang tunai RM374, wang Rupiah 130,000, sebuah telefon bimbit, satu pemotong besi dan kuku kambing.

Kereta yang digunakan penjenayah itu telah dilaporkan hilang di Kajang tahun lepas.

Narenasagaran berkata kumpulan itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya lapan kes samun di Temerloh, Maran, Bera dan Kuala Lipis. - BERNAMA

Artikel Lain