suria

Peluang BN Rampas Parlimen Hulu Selangor Cerah - Zahid

TELUK INTAN: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini cerah kerana pengundi di Selangor telah menyedari kesilapan menyokong pakatan pembangkang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Selangor sebagai salah sebuah negeri yang diperintah oleh pembangkang gagal memberi pembangunan dan rakyatnya menderita kerana tidak mendapat kemudahan seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-12.

Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor tidak menunaikan janji untuk memberi sumbangan kepada warga emas di negeri itu selain gagal menghapuskan cukai pintu dan menyediakan tempat meletak kereta percuma seperti yang dijanjikan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah menghafal al-Quran peringkat negeri Perak di sini hari oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata dakwaan pembangkang bahawa BN telah tidak menunaikan janji pilihan raya ibarat pepatah "menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri".

"Saya minta pembangkang tanya diri sendiri apa yang telah mereka berikan kepada rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Beliau berkata kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke atas BN bagi kerusi parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum lepas adalah tipis dan berpunca juga kepada faktor masalah dalaman BN.

"Pada ketika itu BN menghadapi masalah yang (kini) telah pun dapat diselesaikan," katanya yang berharap semua parti komponen akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan pada kali ini.

Ahmad Zahid berharap polemik mengenai isu calon BN bagi pilihan raya kecil itu antara Umno dan MIC tidak berlarutan dan mahu semua komponen menghormati persetujuan bersama dalam konvensyen BN mengenai isu calon pilihan raya.

Calon BN yang akan bertanding parlimen Hulu Selangor akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 April ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Allahyarham memenangi kerusi itu setelah mengalahkan Timbalan Presiden MIC Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi pada pilihan raya umum 2008. - BERNAMA

Artikel Lain