suria

Najib: Pilihan Raya Umum Adalah Ukuran Sebenar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sementara Barisan Nasional (BN) mahu memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor, ukuran sebenarnya adalah pilihan raya umum.

"Pilihan raya kecil adalah hanya pilihan raya kecil dan petunjuk sebenarnya adalah pilihan raya umum," katanya ketika ditanya jika beliau ingin menjadikan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai satu ukuran sokongan kepada kerajaan.

"Apa sahaja yang kita lakukan boleh menyumbang ke arah mencapai kepada jangkaan atau psikologi untuk menang dalam pilihan raya umum ke-13," kata Perdana Menteri dalam temubual eksklusif yang disiarkan BERNAMA TV malam tadi sempena setahun memegang jawatan itu.

Temubual khas bertajuk "Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri" dikendali oleh Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA Zulkefli Salleh dan Editor Ekonomi Mikhail Raj Abdullah.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat akibat kanser otak pada 25 Mac lalu. Hari penamaan calon ialah pada 17 April dan pengundian ditetapkan pada 25 April.

Mengenai prestasi anggota Kabinet dan Anggota-anggota Parlimen BN dan sama ada "kad laporan" mereka sudah diterima, Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno, berkata beliau sentiasa memantau mereka, sambil menambah kata beliau telahpun selesai membuat penilaian terhadap prestasi Menteri selepas enam bulan.

"Wakil-wakil rakyat ini, kita ada ibu pejabat yang akan pantau dan mereka tahu siapa wakil rakyat yang rajin turun padang, balik kawasan, menyelesaikan masalah rakyat dan sebagainya," katanya.

Ditanya jika ada di antara mereka yang gagal, Najib berkata ia akan diketahui apabila senarai calon pilihan raya umum diumumkan nanti.

"Biasanya bila ada pilihan raya, ada yang tidak dicalon semula, ada yang dicalon semula. Yang tidak dicalon semula tu, maknanya gagal lah," katanya.

Keseluruhannya, Najib berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinet dan wakil rakyat BN.

"Mungkin lepas pilihan raya 2008 itu, mereka tergamam sedikit sebab keputusan itu di luar dugaan, jadi bila dalam keadaan itu, dalam masa setahun itu agak kurang aktiviti, tetapi sekarang ini saya nampak sudah ada peningkatan yang ketara," kata beliau.

Program tinjauan mesra yang sinonim dengan Najib sejak beliau menjadi Perdana Menteri turut disentuh semasa temubual itu, dan perbezaan antara ayahanda beliau dan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang berjalan-jalan turun padang lebih ke kawasan pedalaman dan luar bandar berbanding dirinya yang banyak di bandar.

Menurut Najib, ia sebenarnya sama banyak tetapi kelihatan beliau melawat lebih banyak kawasan di bandar kerana keadaan demografi negara sudah berubah.

"Tahun 60-an dan tahun 2010 ini, selepas lebih 40 tahun lebih sudah berlaku banyak perubahan di mana peratusan yang tinggal di bandar lebih daripada di luar bandar. Satu. Yang kedua, saya lebih suka membuat lawatan secara spontan.

"Jadi lebih mudah buat dalam sekitar kawasan bandar," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau juga banyak melawat kawasan luar bandar, umpamanya rumah panjang, bandar kecil di Semunjan dan Rascom di Sarawak.

"Itu memang kawasan luar bandar. Lepas tu kawasan Felda yang saya pergi. Dan di Langkawi bila saya cuti Tahun Baru Cina, waktu cuti pun saya turun tengok perkampungan nelayan dan dapat menyelesaikan masalah mereka, tambahnya.

Menurut beliau, pada peringkat awal (tahun 2009) beliau melawat Brickfields, Petaling Street dan Pantai Dalam dan akan terus melawat kawasan luar bandar dan juga tempat-tempat yang memerlukan perhatiannya.

Mengenai anggapan bahawa jemaah Menteri dan anggota Parlimen BN tidak membuat tinjauan mesra sebagaimana beliau, Najib berkata itu tidak benar kerana mereka mempunyai program tersendiri, disamping program Juara Rakyat tetapi tidak dilapor dalam akhbar sebab mereka Anggota Parlimen biasa.

"Tetapi bila Perdana Menteri turun, media akan ikut serta memberi pendedahan yang meluas. Kalau kita nak ukur, itu tidak berapa adil. Jangan ukur dari segi liputan dalam media, lihat dari segi aktiviti mereka yang sebenar," kata beliau.

Najib juga menolak dakwaan mereka (jemaah Menteri dan anggota Parlimen BN) banyak membuat tinjauan mesra hanya sebelum pilihan raya, dan menyatakan bahawa mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan apa yang diperlukan untuk menang pilihan raya.

"(Ketawa) Tidak, tidak benar. Mereka sudah tahu tanggungjawab kita, kalau nak berjaya, nak menang pilihan raya, janganlah bila dekat pilihan raya baru buat sibuk. Rakyat hari ini dah cerdik, rakyat faham. Rakyat boleh menilai kita," katanya.

Ketika ditanya jika beliau kecewa bahawa setiap orang menyalahkannya bagi setiap kesilapan dan masalah yang berlaku di negara ini, Najib berkata beliau berpendapat bahawa rakyat tidak berlaku adil tetapi pada masa yang sama menganggapnya hanya sebagai risiko jawatannya dan perlu menerimanya.

"Saya fikir rakyat sedar bahawa sesetengah perkara adalah di luar kawalan kita, sesetengah perkara di dalam kawalan kita. Ianya cuma asam garam pekerjaan, kamu mesti menerimanya. Saya berpendapat ia terpakai kepada mana-mana ketua jabatan di mana-mana sahaja di dunia ini selagi rakyat tidak bersikap tidak munasabah."

"Jika mereka memukul bola (golf) bola itu tidak memasuki lubang, mereka tidak boleh menyalahkan saya sebagai Perdana Menteri. Maksud saya rakyat boleh menjadi tidak munasabah satu-satu ketika tapi mereka mesti sedar bahawa ianya ada batasannya," katanya.

Najib berkata walaupun demikian, beliau terus bekerja keras dan amat serius dalam usaha mentransformasikan negara.

"Tidur saya tidak terganggu dengan perkara itu. Saya bekerja keras, saya bekerja dalam waktu yang lama, dan saya serius untuk mentransformasikan negara ini dan masanya akan tiba apabila rakyat mengadili saya dan saya pasti rakyat Malaysia akan menghakimi saya dengan adil," katanya.

Artikel Lain