Murid Tahun Enam Mati Lemas Di Langkawi - Semasa | mStar

Murid Tahun Enam Mati Lemas Di Langkawi

LANGKAWI: Seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kuala Teriang, Mohamad Firdaus Mohd Yusof 12, mati lemas ketika mandi di laut di hadapan sebuah hotel di Telok Nibong di sini petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintenden (DSP) Harith Kam Abdullah berkata, mayat Mohamad Firdaus dijumpai oleh orang awam di pantai hotel itu pada kira-kira pukul 7 petang.

"Setelah menjumpai mayat Mohamad Firdaus, orang awam memaklumkannya kepada pengawal hotel itu sebelum membuat laporan polis dan mayatnya dihantar ke hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat Mohamad Firdaus telah dituntut oleh keluarganya pada kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Sementara itu, ibu kepada Mohamad Firdaus, Norli Ismail 32, berkata hasrat anaknya untuk mencatat keputusan cemerlang 5A pada Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tidak kesampaian.

Katanya sebelum itu, Mohamad Firdaus dipercayai keluar bersama-sama rakannya untuk bermain pada kira-kira 1 tengah hari dan beliau tidak menyangka anaknya itu pergi bermandi laut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan