suria

Mohamed Nazri Serah Notis Rujuk Anwar Kepada Jawatankuasa

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini menyerahkan notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau telah menyerahkan notis tersebut pagi tadi.

Minggu lalu, Anwar yang juga Ahli parlimen Permatang Pauh sebelum ini dipanggil untuk memberi penjelasan ke Dewan Rakyat berhubung kenyataannya di dalam dewan yang mengaitkan 1Malaysia dengan 1Israel.

“Saya sudah serahkan notis untuk rujuk Ketua Pembangkang kepada jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen pagi tadi,” katanya ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Nazri berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan usul tersebut pada 22 April ini.

Tarikh tersebut juga merupakan hari terakhir bagi sidang pertama, penggal ketiga bagi sesi Parlimen ke-12.

Jika Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh didapati bersalah oleh jawatankuasa berkenaan, beliau boleh dikenakan tindakan amaran atau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Anwar menggesa kerajaan menarik balik kontraknya dengan APCO Worldwide Sdn Bhd dan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat firma itu, dengan mendakwa ia membawa risiko terhadap keselamatan nasional.

Beliau menimbulkan isu APCO itu ketika memberi penerangan di dewan berikutan usul Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa bahawa konsep 1Malaysia ditiru dari slogan "Satu Israel" yang beliau kaitkan dengan APCO Worldwide.

Syarikat berkenaan merupakan penasihat kepada kerajaan dalam bidang komunikasi negara secara menyeluruh.

Sementara itu, Tian Chua (PKR-Batu) hari ini menyerahkan notis kepada speaker untuk mengemukakan usul bagi mendesak kerajaan persekutuan menamatkan perkhidmatan APCO Worldwide.

”Saya mohon mencadangkan bahawa Parlimen Malaysia mendesak kerajaan segerakan membatal perjanjian APCO dan menghentikan kerjasama sama sekali kerana ia mengancam keselamatan dan mencabuli kedaulatan negara.

”Penglibatan APCO secara tidak langsung dalam pentadbiran negara Malaysia ataupun penasihat kepada perdana menteri akan menggadaikan maruah kepada Zionis,” katanya dalam notis tersebut.

Artikel Lain