suria

Kuota Pengeluaran Minyak Masak Dalam Negara Akan Dikaji Semula

GUA MUSANG: Bagi mengawal penyeludupan minyak masak ke negara jiran, kerajaan akan mengkaji semula kuota pengeluaran minyak masak dalam negara yang kini sebanyak 70,000 metrik tan setahun.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin berkata jumlah pengeluaran itu melebihi keperluan dalam negara dan kerajaan bimbang dengan aktiviti penyeludupan bahan itu kerana harganya lebih mahal di negara jiran.

"Mengikut pengiraan semasa, keperluan minyak masak dalam negara hanya dengan kadar 50,000 metrik tan setahun dan 20,000 metrik tan lagi hilang di pasaran yang berkemungkinan ada berlaku perkara tidak elok.

"Sama ada (kerajaan) ingin mengekalkan kouta yang ada sekarang atau hendak dikurangkan bergantung kepada kajian nanti," katanya pada majlis Dialog dan Makan Malam Kepimpinan Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan diajukan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, Zamzani Harun berhubung kouta pengeluaran minyak masak yang perlu ditambah kerana keperluan bahan itu di sesetengah tempat meningkat.

Hamzah juga berkata permintaan untuk ditambah kuota pengeluaran minyak masak bagi anak syarikat Kesedar masih dalam perhatian berikutan perlu dilakukan kajian menyeluruh.

Beliau menjelaskan sebelum ini kementerian pernah mengumumkan untuk mengurangkan kuota pengeluaran minyak masak bagi keperluan dalam negara tetapi berikutan pengeluar mengatakan bekalan minyak masak sebenarnya tidak mencukupi, kelonggaran diberikan semula.

"Kita mendapati ada lebihan minyak masak di pasaran dan (akan) menghalang daripada mengalir ke luar terutama negara jiran yang dijual dengan harga RM3.50 sekilogram manakala dalam negara ditetapkan RM2.50 sekilogram," katanya.

Hamzah juga menyarankan belia menganggur supaya merebut peluang dalam industri komoditi yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Beliau memberikan contoh lada hitam yang dijual pada harga RM10,000 bagi satu metrik tan. -BERNAMA

Artikel Lain