suria

Bekas Pengarah Syarikat Pembalakan Tipu Bank Dipenjara Dan Disebat

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan syarikat pembekalan balak dipenjara enam tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menipu Bangkok Bank membabitkan wang berjumlah RM4.5 juta dan 50 tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001, lima tahun lepas.

Hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan Ibrahim Salleh, 46, dari Ampang di sini, menjalani hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan menipu.

Bagi pertuduhan mengikut AMLA, Ibrahim dipenjara tiga tahun untuk setiap pertuduhan dan kesemua hukuman berjalan secara serentak.

Rozana memerintahkan Ibrahim menjalani hukuman pertuduhan menipu dan AMLA berjalan berasingan.

Hakim Rozana dalam penghakimannya berkata Ibrahim telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di mana 37 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Ibrahim, yang kini pengerusi Syarikat Jalinkom Sdn Bhd, didakwa telah menipu Bangkok Bank dengan memperdayakan bank itu kononnya dokumen yang diguna untuk menunaikan satu urusan kredit adalah dokumen tulen.

Penipuan itu telah menyebabkan Bangkok Bank menyerahkan wang tunai US$1,215,250 (RM4,616,964.33) kepada tertuduh melalui Maybank Berhad.

Ibrahim dituduh melakukan kesalahan itu di Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini, pada 10.30 pagi 25 April 2005.

Untuk pertuduhan pertama, Ibrahim didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Bagi 50 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) AMLA, Ibrahim didakwa telah menggunakan hasil daripada wang penipuan itu sebanyak RM3.6 juta untuk pelbagai tujuan.

Antara transaksi yang digunakan oleh tertuduh ialah urusan tukaran mata wang asing, pembelian balak, pembayaran gaji, pengubahansuaian pejabat dan pendahuluan pembelian sebuah kereta mewah.

Peguam Hermes Media Putra Ibrahim memohon kepada mahkamah agar pelaksanaan hukuman ditangguhkan memandangkan anak guamnya masih mempunyai urusan penting syarikat yang perlu diselesaikan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Mashim Musaimi membantah kerana pihak pembelaan gagal mengemukakan sebarang alasan luar biasa kepada mahkamah.

Rozana membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara Ibrahim membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain