suria

SPR Beri Amaran Hentikan Sebarang Kempen Di Hulu Selangor

WAN AHMAD WAN OMAR
WAN AHMAD WAN OMAR
WAN AHMAD WAN OMAR

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada semua pihak supaya berhenti berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor kerana tempoh kerja-kerja itu belum lagi bermula.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas selesai tempoh penamaan calon iaitu pada 17 April.

"Sehingga hari penamaan calon, SPR tidak boleh bertindak ke atas mereka yang memasang bendera dan sepanduk, berkumpul dan berarak untuk tujuan berkempen.

"Saya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis meningkatkan pemantauan aktiviti kempen pihak terbabit sekarang. Mana-mana pihak yang bertanding hendaklah mematuhi undang-undang iaitu hanya dibenarkan berkempen selepas hari penamaan," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Selepas hari penamaan calon, Wan Ahmad berkata, SPR boleh menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.

Katanya, SPR akan bekerjasama dengan polis dan PBT untuk tujuan itu.

"SPR akan menubuhkan enam Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya mengikut Seksyen 27B Akta tersebut sebaik sahaja menguatkuasakan Akta Pilihan Raya supaya pihak terbabit mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Mereka telah diberi kawasan spesifik untuk membuat pemantauan yang baik dengan kerjasama polis dan PBT," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Sebanyak 34,020 atau 52.7 peratus pengundi adalah Melayu; 16,964 atau 26.3 peratus (Cina); 12,453 atau 19.3 peratus (India) dan 1,063 atau 1,7 peratus kaum lain.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain