suria

Remaja Ditahan Polis Selepas Cuba Jual Barang Ragut

NIBONG TEBAL: Cubaan seorang remaja untuk menjual telefon bimbit baru diragutnya gagal apabila dia ditahan polis di hutan, yang terletak di belakang sebuah kedai jam di Taman Tangling, Simpang Ampat di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintenden Shafien Mamat berkata remaja lelaki berusia 18 tahun itu meragut seorang wanita yang sedang menunggu van kilang ke tempat kerja di hentian bas di Sungai Bakap pada pukul 6 petang.

Katanya remaja bersama rakannya yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 meluru ke arah wanita itu dan menarik rantai leher serta merampas telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.

Wanita, yang mengalami kecederaan ringan, membuat laporan polis ekoran diragut sehingga mengalami kerugian kira-kira RM2,000.

Shafien berkata tidak lama kemudian, polis mendapat laporan remaja itu pergi ke sebuah kedai jam di Taman Tangling untuk menjual telefon bimbit yang diragutnya, tetapi melarikan diri ke hutan berhampiran apabila cuba dihampiri orang ramai dan anggota ronda suka rela ekoran keadaannya yang mencurigakan.

Sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menahan remaja itu serta menemui telefon bimbit milik mangsa bersamanya.

"Kita turut merampas sebilah pisau dan sebuah motosikal jenia Honda Ex5. Polis kini giat sedang mengesan rakan subahatnya bagi membantu siasatan," katanya.

Shafien berkata remaja, yang positif dadah jenis heroin, direman bagi membantu sisatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain