suria

Penunggang Motosikal Maut Kemalangan Dengan Lori

GUA MUSANG: Seorang pekerja kilang sawit, Mohd Safuan Zakaria, 20, maut apabila motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, dekat sini, pukul 7.45 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kilang Sawit Aring tidak jauh dari rumahnya di Rancangan Tanah Felda Aring Satu.

Beliau berkata lori itu dikatakan cuba membelok memasuki simpang tiga ke sebuah kawasan perumahan peneroka menyebabkan ia berlanggar dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

Katanya Mohd Safuan tercampak ke dalam parit berdekatan, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Kesihatan Aring.

Saiful Bahri berkata pemandu lori terbabit berusia lingkungan 20-an ditahan untuk membantu siasatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan lewat petang ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain