suria

Sokongan Terhadap Najib Naik 68 Peratus

KUALA LUMPUR: Sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik didapati berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia keenam selepas 12 bulan beliau mentadbir negara.

Menurut The Malaysian Insider yang memetik survei pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Centre, sokongan terhadap beliau sebelum ini hanyalah 44 peratus yang antara lain dikatakan berpunca daripada prestasi ekonomi negara yang merosot dan beliau sentiasa mendapat gambaran negatif.

Survei tersebut yang dimuatkan dalam portal Malaysian Insider hari ini, telah menemu bual 883 pengundi berdaftar di Semenanjung antara 11 Mac hingga 27 Mac lalu dengan mengemukakan soalan seperti hala tuju negara, kepuasan hati rakyat terhadap perdana menteri dan persepsi terhadap beberapa inisiatif utama Najib.

Penarafan tersebut merupakan yang tertinggi sejak Merdeka Center membuat kajian pendapat sejak April 2009, bulan di mana Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya.

Survei berkenaan mendapati sejak Jun 2009, tahap kepuasan hati terhadap prestasi Najib berlegar di sekitar kadar 65 peratus, pernah menurun pada tahap 56 peratus September tahun lalu, berikutan adanya protes mengarak kepala lembu di Shah Alam dan kematian pembantu kepada pemimpin DAP, Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dan di dalam survei mutakhir, 68 peratus responden menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi perdana menteri.

Sokongan menaik ini berlaku walaupun wujud kontroversi penggunaan kalimah Allah dan beberapa serangan terhadap rumah ibadat.

Menurut kaji selidik berkenaan, sokongan terhadap Najib bertambah berikutan ekonomi yang semakin pulih ditambah pula dengan masalah yang dihadapi parti pembangkang di mana ahli dan pemimpin mereka keluar parti dan pertelingkahan sesama sendiri.

Sebanyak 74 peratus responden Melayu didapati berpuas hati dengan prestasi Najib disertai oleh 77 peratus responden India, kemungkinan berikutan lawatan simbolik perdana menteri ke Batu Caves semasa perayaan Thaipusam dan janjinya untuk meningkatkan status ekonomi masyarakat India.

Namun di kalangan responden Cina, Najib dan Barisan Nasional (BN) masih belum memenangi hati mereka.

Hanya lebih sedikit daripada 50 peratus responden Cina yang berpuas hati dengan beliau di mana kaum Cina menerusi survei itu turut dikatakan menjadi sasaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Sebanyak 66 peratus responden Cina juga didapati mempunyai sentimen negatif terhadap Umno.

Namun dalam ringkasan survei tersebut, Ibrahim Suffian dari Merdeka Center mengingatkan bahawa peratusan yang tinggi tidak boleh dianggap sebagai sokongan pengundi kepada perdana menteri, tetapi sekadar persetujuan terhadap hasrat dan polisi Najib.

Sebagai contoh katanya, walapun 74 peratus responden Melayu berpuas hati dengan prestasi 100 hari Najib sebagai perdana menteri berdasarkan soalan "Betul" atau "Salah", tetapi hanya dianggarkan sekitar 55 hingga 57 peratus pengundi Melayu yang mahu mengundi BN.

Antara dapatan utama lain kaji selidik tersebut ialah:-

* Lebih ramai rakyat memberi kepercayaan terhadap Najib (31 peratus) berbanding terhadap Umno (22 peratus).

Dari segi kaum, kaum India lebih memberi kepercayaan tinggi terhadap Najib (51 peratus) berbanding kepada Umno (13 peratus) sementara kepercyaan kaum Cina kepada Najib (46 peratus) berbanding kepada Umno (6 peratus).

* Kira-kira 61 peratus rakyat tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan.

* Kurang daripada 60 peratus rakyat tidak menyokong penghapusan subsidi.

* Kebanyakan rakyat (80 peratus) beranggapan Najib mudah didekati.

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain