suria

Penduduk Hulu Selangor Beri Sokongan 25 April Ini

KUALA KUBU BARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penduduk di Hulu Selangor khususnya masyarakat Felda untuk memberikan sokongan yang lebih kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen itu 25 April ini.

Pengerusi BN dan Presiden Umno itu berkata sokongan itu penting bagi menguatkan lagi kerajaan BN serta memperoleh kemenangan besar berbanding pilihan raya terdahulu.

"Jika kemenangan berpihak pada BN dan memperoleh sokongan yang kuat, kerajaan akan memacu kepada perubahan yang lebih besar," katanya, sambil menambah beliau sendiri komited untuk menunaikan segala amanah dan janji sebaik mungkin.

Berucap ketika melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi dekat sini pada Sabtu, Najib berkata kerajaan pusat tidak lupa menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk di Selangor khususnya masyarakat Felda dengan menyalurkan pelbagai bantuan dan peruntukan.

"Untuk Felda macam-macam dah bagi, akan datang banyak lagi, tapi tolonglah sikit, 25 haribulan ini (hari pengundian) tolong, yayasan kita ada, kita bagi bantuan kalau bagi kepercayaan kepada BN kita semua akan menjurus kepada masa depan yang jauh lebih baik lagi," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Timbalan Presiden MIC Datuk G.Palanivel, Ketua Penerangan Umno merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Mengenai calon pada pilihan raya kecil itu, Najib berkata tidak kira siapa jua yang akan dipilih, kerana yang penting adalah calon tersebut membawa simbol BN.

"Yang penting adalah simbol BN sebab ketua kepada BN adalah saya sebagai Perdana Menteri dan saya tetap akan teliti, kawasan ini memang kawasan biru dulu dah menang tetapi saya hendak menang besar lagi supaya kita memberi satu isyarat yang jelas," katanya.

Beliau berkata UMNO, MCA dan MIC akan berpakat dalam menentukan calon supaya kemenangan yang besar dapat diperolehi BN kali ini.

"Antara UMNO, MCA dan MIC berpakat-pakatlah, kita ada kefahaman supaya kesudahannya yang menang adalah BN. Ini satu warisan sejak dahulu lagi, sejak zaman Tunku Abdul Rahman, zaman Tun Razak, saya boleh terima apa yang kita warisi hari ini takkan kita hendak ubah.

"Pemimpin-pemimpin lain dah letakkan asas itu untuk negara kita, mesti ada kebijaksanaan mengatakan ia pilih calon seperti ini dan kita lihat inilah (yang) terbaik untuk negara kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain