suria

Kerajaan Kaji Pemberian Subsidi Melalui Makmal Rasionalisasi Subsidi

BAHAU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang mengkaji pemberian subsidi kepada rakyat yang berjumlah RM73 bilion melalui pengwujudan Makmal Rasionalisasi Subsidi.

Beliau berkata makmal itu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan dijangka menyiapkan cadangan dan kajian berkenaan sebelum pembentangan Bajet 2011 tahun ini.

"Kajian itu termasuklah apa juga berkaitan subsidi sama ada makanan, perkhidmatan, tol, tarif elektrik, pertanian, pelajaran dan sebagainya. Ia dibuat untuk melihat sama ada berlaku pertindihan, rasionalnya dan di mana yang perlu dibaiki, dikurangkan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu melancarkan program Juara Rakyat bersama agensi kerajaan anjuran UMNO Bahagian Jempol di Dewan Besar, Pejabat Daerah Jempol dekat sini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan berharap Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan 2010 dapat dibaca kali pertama dan kedua pada sesi kedua persidangan Dewan Rakyat Jun ini.

Beliau berkata akta berkenaan yang bertujuan mengawal kenaikan harga barang sesuka hati oleh peniaga akan menjadi satu lagi platform yang menjaga hak pengguna.

"Akta Kawalan Harga 1946 akan dipinda dan memasukkan peruntukan baru mengenai anti mengaut keuntungan berlebihan atau di sebut anti percatutan," katanya.

Ismail Sabri berkata melalui Akta Kawalan Harga sedia ada, kerajaan hanya boleh mengawal harga terhadap barangan yang diwartakan sahaja tetapi melalui akta baru itu nanti, kerajaan berupaya mengawal peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain