suria

MPN Gabungkan 1,426 Profesor IPTA

PUTRAJAYA: Seramai 1,426 profesor di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini kini bergabung di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) bagi menyumbang input kepakaran dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tenaga pakar dalam MPN amat diperlukan terutamanya bagi membantu kerajaan menjayakan Model Ekonomi Baru (MEB) selain Pelan Transformasi Kerajaan.

"Selari dengan hakikat ini, kementerian menzahirkan hasrat untuk memobilasi serta menggerakkan sumber -sumber kepakaran negara ini secara strategik dan komprehensif melalui penubuhan MPN.

"Adalah diharapkan, dengan penubuhan MPN ini yang merangkumi 13 kluster mengikut bidang tertentu, para profesor kita akan bersedia tampil memberi sumbangan ilmu dan pemikiran mereka secara bermakna dan berkesan," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Pelancaran berkenaan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Penasihat Sains Kepada Kerajaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid, sebagai pengerusi MPN dan 13 ketua kluster, yang mewakili bidang masing-masing.

Tiga belas bidang berkenaan ialah Pemerintahan, Perundangan dan Pengurusan Awam; Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan; Ekonomi dan Kewangan; Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa.

Warisan dan Sosio-budaya; Sains dan Matematik; Teknologi dan Kejuruteraan; Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kesihatan dan Perubatan, Industri dan Inovasi; Pertanian dan Keselamatan Makanan; Pembangunan Wilayah serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, golongan profesor diharap bertindak sebagai intelektual awam dan ikon keilmuan dalam kelompok masyarakat.

"Saya menyeru dan mengajak para profesor untuk keluar dari menara gading masing-masing dan tidak hanya menjadi 'super gurus' atau tertumpu kepada kemajuan kerjaya semata-mata.

"Mereka sebaliknya perlu mengambil bahagian secara aktif serta menawarkan kepakaran masing-masing dalam kehidupan bermasyarakat," katanya.

Menurutnya lagi, pada peringkat permulaan, MPN hanya melibatkan profesor IPTA sahaja.

Pada majlis itu juga, enam pusat kecemerlangan di institusi pengajian tinggi dinobatkan dengan status Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE).

Kesemua pusat kecemerlangan yang dipilih itu turut diberikan peruntukan RM3 juta setahun untuk membantu melonjakkan pencapaian HICoE ke peringkat antarabangsa.

Enam pusat itu ialah UM Centre of Research Power Electronics, Drives, Automation & Control, Universiti Malaya (UM); UKM Medical Molecular Biology Institute, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Institute for Research in Molecular Medicine, Universiti Sains Malaysia (USM).

Institute of Bioscience, Universiti Putra Malaysia; Centre for Drug Research, USM dan Accounting Research Institute, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Artikel Sebelum

Artikel Lain