suria

Kanak-Kanak Lapan Tahun Mati Lemas Di Pantai Irama

BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mati lemas ketika mandi bersama tiga lagi adik-beradik lelakinya di Pantai Irama di sini kira-kira pukul 6 petang tadi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Left Mohd Nasir Dollah berkata mangsa, Mohd Shahrul Ilham Mohd Zamri, dari Kampung Jambu Merah, Melor dekat Kota Baharu, dikatakan mandi di pantai tersebut bersama adik-beradiknya ketika kedua ibu bapanya sibuk menyediakan persiapan untuk berniaga di pasar malam berhampiran.

"Pihak JPAM menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 6.05 petang tadi sebelum anggota kami bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

"Dua daripada empat anggota pertahanan awam turun ke pantai menyelamatkan mangsa dan berjaya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri tidak jauh dari pantai terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika dibawa ke tepi pantai, mangsa masih lagi bernafas, bagaimanapun selepas melakukan bantuan pernafasan beberapa kali mangsa didapati tidak lagi bernafas.

Mohd Nasir berkata salah seorang doktor perempuan yang kebetulan berada di tempat kejadian turut sama menghulurkan bantuan dan memberitahu mangsa meninggal kerana masalah saluran pernafasannya tersumbat.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain