suria

Tiga Maut Kerana Denggi Minggu Lepas

KUALA LUMPUR: Tiga kematian akibat demam denggi dilapor pada minggu lepas, menjadikan jumlah kematian tahun ini meningkat kepada 43 orang berbanding 37 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata dua kes kematian itu berlaku di Selangor, manakala satu kes di Sarawak.

Beliau berkata secara keseluruhan, kes demam denggi dilaporkan menurun sebanyak 11 peratus kepada 797 kes berbanding 898 kes minggu sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul kes yang dilaporkan tahun ini adalah 12,157, berbanding 14,108 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Walaupun terdapat penurunan kes, jumlah kematian yang dilapor pada tahun ini meningkat 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga kes kematian pada minggu lepas disebabkan komplikasi Demam Denggi Berdarah dan terjadi di kawasan yang berisiko untuk jangkitan denggi kerana mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu di antara 3.4 peratus dan 3.8 peratus.

Dr Mohd Ismail berkata pembiakan Aedes yang tinggi di kawasan "panas" masih dilaporkan di negeri-negeri seperti Selangor, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Namun hanya 13 dari 60 kawasan "panas" itu yang mengadakan gotong royong dan kegagalan masyarakat setempat menghapuskan tempat pembiakan Aedes secara berkala menyumbang kepada penularan kes demam denggi di kawasan-kawasan berkenaan.

Bagi kes Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 14 kes dilapor pada minggu lepas, berbanding 39 kes pada minggu sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah terkumpul kes itu tahun ini sebanyak 500 berbanding 1,116 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Kesemua kes itu dilaporkan di Sarawak dan terdapat tiga lokaliti wabak itu berlaku di negeri berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain