suria

Polis Tahan Dua Lelaki Dalam Cubaan Menyamun

PETALING JAYA: Cubaan empat lelaki yang dipercayai ingin melakukan samun gagal apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas di bulatan Seksyen 14, di sini ketika dikejar oleh kereta peronda polis awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner (ACP) Arjunaidi Mohamed berkata dalam kejadian pukul 1 pagi itu, dua lelaki tempatan berjaya ditahan manakala dua lagi melarikan diri setelah kereta yang dipandu terbabas sebelum melanggar tembok.

Katanya, kejadian itu disedari oleh dua anggota polis yang sedang membuat rondaan dengan kereta peronda di kawasan perumahan itu yang telah mengejar kereta tersebut.

"Apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri dengan memecut laju sebelum terbabas dan melanggar tembok di bulatan tersebut," katanya kepada pemberita ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Assunta sempena lawatan Kepolisan Masyarakat di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata dua daripada lelaki tersebut berjaya ditahan dengan bantuan orang awam yang berada di kawasan tersebut, manakala dua lagi melarikan diri.

Kedua-dua lelaki yang ditahan yang dalam lingkungan umur 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan, dan usaha sedang dijalankan bagi menjejaki dua rakan mereka.

Dalam perkembangan lain, polis masih belum mengenal pasti suspek kes buang bayi lelaki di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang pada 26 Mac lepas.

Katanya sehingga kini tiada saksi yang tampil untuk membantu siasatan.

"Polis masih menunggu keputusan ujian DNA bayi itu, selagi belum dikeluarkan agak sukar untuk kami mengesan suspek yang terlibat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain