suria

Polis Selamatkan Rokok Bernilai RM1.4 Juta Daripada Disamun

ALOR GAJAH: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang cuba menyamun sebuah lori muatan rokok bernilai RM1.4 juta di jalan Jelatang di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1 Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata dalam kejadian pukul 6 pagi semalam, lori yang membawa 506 kotak pelbagai jenis rokok itu dipandu seorang lelaki dan bersamanya seorang pengawal keselamatan wanita.

"Selepas menurunkan muatan di Tampin, lori itu meneruskan perjalanan ke Muar melalui Jalan Pulau Sebang-Alor Gajah dan apabila tiba di jalan Jelatang, pemandu berpura-pura hendak berhentikan kenderaan untuk makan tetapi tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan berkenaan.

"Pemandu yang disyaki bersubahat dengan kumpulan samun itu tetap memberhentikan lori itu bersebelahan sebuah treler yang dipercayai dirancang untuk tujuan samun itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini, hari ini.

Mohd Rodwan berkata pengawal keselamatan itu terjun dari lori berkenaan untuk menyelamatkan diri apabila melihat empat lelaki bersenjatakan parang meluru ke arahnya.

Bagaimanapun beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam sebuah kereta yang menunggu berhampiran.

Beliau berkata orang ramai yang melihat kejadian berkenaan terus melaporkan kepada polis dan berdasarkan maklumat itu, polis melancarkan Ops Tutup dan menjumpai lori dan treler berkenaan di Taman Samarinda iaitu kira-kira 500 meter dari IPD berkenaan.

"Semasa serbuan dijalankan mereka sedang memunggah kotak rokok dari lori ke dalam treler yang sedang menunggu," tambahnya pengawal keselamatan wanita itu ditemui selamat.

Katanya berikutan kejadian itu, polis berjaya menahan lapan lelaki warga tempatan berusia antara 16 dan 42 tahun termasuk pemandu lori berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Rodwan berkata dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, dua lelaki disyaki cuba mencuri getah sekerap beku di sebuah kebuh getah di Bukit Apit 2, Masjid Tanah dekat sini, ditangkap sekumpulan pekerja kebun getah berkenaan.

Beliau berkata ketika diserahkan kepada polis, dua lelaki masing-masing berusia 52 tahun dan 44 tahun itu dalam keadaan pengsan, dikejarkan ke Hospital Alor Gajah; bagaimanapun lelaki berusia 52 tahun mati di hospital itu.

Lelaki yang mati itu berasal dari Kampung Baru Estate, Masjid Tanah manakala rakannya warga India mempunyai pasport perjalanan yang sah, katanya.

Berikutan kejadian itu, polis menahan 17 warga asing dan enam rakyat tempatan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain