suria

Polis Jalankan Siasatan Terperinci Kegiatan Pelacuran Di Sandakan

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kegiatan pelacuran di sekitar Sandakan sepertimana yang didedahkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini, kata Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata kegiatan tidak bermoral itu yang dipaparkan oleh stesen NTV7 yang menyertai operasi Jabatan Imigresen perlu disiasat dengan lebih lanjut kerana kegiatan berkenaan membimbangkan penduduk di daerah itu.

"Gambar dan perbualan krew NTV7 dengan wanita-wanita semasa serbuan boleh dijadikan bukti untuk mengenal pasti orang-orang dan premis yang terlibat dalam kegiatan itu agar tindakan polis dapat diambil selain tindakan imigresen.

"Kita bimbang terdapat kemungkinan warga asing yang bekerja di pusat hiburan itu diperolehi menerusi kegiatan pemerdagangan manusia dan kita tidak mahu orang ramai memikirkan polis tidak sedar tentang perkara ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Beliau berterima kasih kepada NTV7 kerana menyiarkan berita itu yang dapat dijadikan maklumat berguna untuk polis bertindak dengan lebih berkesan.

Dalam serbuan imigresen yang disertai krew NTV7 pada 24 Mac lepas, Noor Rashid berkata seramai 10 warga asing ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, polis Sabah telah menangkap 15 wanita Filipina, empat wanita Indonesia, dua wanita tempatan dan empat lelaki tempatan dan asing yang terlibat dalam kegiatan pelacuran.

Bagi tahun lepas pula, Noor Rashid berkata seramai 77 wanita Filipina, 71 wanita Indonesia dan 22 lelaki tempatan dan asing yang terlibat dalam kegiatan itu ditangkap dan beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur pemerdagangan manusia dalam kegiatan itu. - BERNAMA

Artikel Lain