suria

Pengawal Keselamatan Menyamar Polis Ditahan

PULAU PINANG: Polis menahan seorang pengawal keselamatan selepas menemui pistol mainan, gari dan uniform serta kad kuasa seorang konstabel polis dalam simpanannya di sebuah rumah di Batu Maung, Balik Pulau, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintenden (DSP) Lai Far Hin berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5 petang selepas polis menerima maklumat dari orang ramai berhubung kes curi motosikal di Queensbay di sini.

Beliau berkata ia bermula dengan pemeriksaan sebuah rumah di di Lintang Batu Maung 1, Batu Maung, yang membawa kepada penahanan seorang mekanik motor berusia 23 tahun yang disyaki terbabit dengan kegiatan curi motosikal, semalam.

"Polis merampas sebuah motosikal dalam keadaan tidak sempurna tanpa nombor pendaftaran jenis Yamaha Nouvo serta beberapa komponen dan kunci motosikal daripada lelaki itu, dan pemeriksaan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di kawasan Queensbay sebelum ini," katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya susulan penahanan mekanik itu polis menyerbu sebuah rumah di Batu Maung dan menahan pengawal keselamatan berkenaan yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Lai berkata selepas diperiksa polis polis menemui sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai milik pengawal keselamatan itu, sepucuk pistol mainan jenama SV Infiniti buatan China, satu uniform lengkap polis, sepasang gari dan satu sarung pistol berwarna hitam.

Beliau berkata turut ditemui ialah lima salinan photostat kad kuasa polis berpangkat konstabel, satu buku saku polis dan sarung (POL5), dua pelekat kereta dengan logo PDRM, sehelai baju hujan polis, dan topi keledar.

Katanya hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu kad kuasa polis milik seorang konstabel polis yang dilaporkan hilang pada 2008, pas safeguard, kad pengenalan dan lesen memandu atas nama orang lain serta dua keping gambar suspek berpakaian uniform polis.

Lai berkata pengawal keselamatan itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan, Seksyen 89 Akta Polis kerana memiliki peralatan polis dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam, manakala mekanik berusia 23 tahun itu pula direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A (i) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal. - BERNAMA

Artikel Lain