suria

Peneroka Cedera Ditetak Dalam Kejadian Samun

GUA MUSANG: Seorang peneroka cedera ditetak semasa bergelut dengan empat lelaki yang memasuki rumahnya untuk menyamun di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Dua di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, Muhammad Yaacob, 65, cedera di dada dan perut akibat ditetak dengan kapak dan parang dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu.

Beliau berkata, Muhammad diserang seorang daripada lelaki itu semasa hendak keluar dari bilik tidurnya selepas terdengar bunyi bising dari bilik anak serta cucunya, dan selepas bergelut beberapa minit, rakan suspek tampil membantu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata, anak perempuan peneroka itu yang berumur 13 tahun dan cucu perempuannya yang berumur 10 tahun diikat di dalam bilik mereka dalam kejadian itu.

Katanya, empat penyamun yang masing-masing bersenjatakan kapak dan parang itu kemudiannya melarikan diri selepas menyedari isteri Muhammad, Ramlah Awang, 53, menjerit di luar rumah memanggil orang kampung untuk membantu mereka.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian samun pada pukul 3.30 pagi ini, dua lelaki melarikan sejumlah wang dan barang kemas yang semuanya dianggar bernilai RM12,500 dalam satu kejadian samun di sebuah rumah peneroka di RKT Kesedar Jeram Tekoh, di sini.

Saiful Bahri berkata, ketua keluarga terbabit yang berumur 30-an terjaga dari tidur sebaik terdengar bunyi bising di ruang tamu, dan melihat dua lelaki sedang menghala ke bahagian dapur rumah untuk melarikan diri.

Beliau berkata, suspek dipercayai memasuki rumah itu menerusi tingkap dapur berdasarkan kesan umpil pada bahagian itu.

Menurutnya, selepas diperiksa peneroka itu mendapati beg tangan isterinya yang mengandungi wang tunai RM4,000, barang kemas termasuk seutas rantai leher dan seutas gelang tangan serta barang kemas milik anaknya, hilang.

"Selain dari itu, keluarga itu juga kehilangan sebuah telefon bimbit, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain