suria

Pembelian Kapal Selam: Tiada Komisyen Dibayar, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan tidak ada dan tidak pernah membayar sebarang bentuk komisyen untuk perolehan kapal selam negara.

Beliau berkata sebaliknya ia diperoleh menerusi perundingan terus dengan syarikat pembuat kapal selam itu di Sepanyol dan Perancis.

Ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata tuduhan pembangkang kononnya komisyen dibayar berhubung pembelian kapal selam itu adalah satu tuduhan liar dan tidak benar.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai menjawab dakwaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), berhubung perkara itu.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Kapal selam Malaysia pertama, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR), tiba di perairan Malaysia pada awal September tahun lepas dari Perancis, sementara kapal selam kedua negara, KD Tun Razak dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) di Teluk Sepanggar, Sabah pada pertengahan tahun ini.

Mengenai pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak pada Jun lepas, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa beliau telah mengambil kesempatan dalam pertemuan itu untuk menjelaskan kepada Barak mengenai pendirian Malaysia yang tidak menyokong sama sekali tindakan kekejaman Israel di Palestin.

Katanya pertemuan selama 20 minit pada majlis koktail sempena Pertunjukan Udara Paris di Perancis itu diadakan atas permintaan Menteri Pertahanan Israel itu sendiri.

"Hasrat Menteri Pertahanan Israel untuk bertemu saya disuarakan pegawai pengiringnya kepada penasihat pertahanan saya. Saya memang mengaku bertemu dengannya tetapi bukan saya yang pergi berjumpa dia, sebaliknya dia yang datang ke majlis itu," katanya.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) bangun mencelah untuk mengucapkan tahniah dan memuji tindakan Ahmad Zahid itu yang dianggap mereka sangat membanggakan. - BERNAMA

Artikel Lain