suria

Najib Akan Temui Soi Lek Pada Masa Sesuai

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mencari masa yang sesuai untuk menemui Presiden MCA yang baru Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Tak perlu tergesa-gesa dan biarkan beliau selesaikan apa yang perlu dahulu," kata Perdana Menteri selepas melancarkan portal MyProcurement di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya bila beliau akan menemui Chua memandangkan beliau (Najib) akan mengadakan lawatan ke luar negara bulan ini.

Dalam pemilihan parti itu Ahad lepas, Chua menewaskan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan juga bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Kepada satu soalan lain, Najib berkata beliau tidak menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau (Muhyiddin) "seorang Melayu" tidak bercanggah dengan konsep 1Malaysia.

"Apa yang beliau katakan selaras dengan perlembagaan yang menyebut mengenai kaum asal kita. Tapi beliau juga berkata beliau komited kepada 1Malaysia.

"Jadi, saya tidak nampak itu sebagai satu percanggahan. Takkanlah kerana menjadi seorang Melayu, kita menentang 1Malaysia atau kita tidak berfikiran sebagai seorang rakyat Malaysia.

"Begitu juga, jika kita seorang rakyat Malaysia keturunan Cina, itu tidak bermakna kita tidak berfikiran seperti seorang rakyat Malaysia atau tidak menerima konsep 1Malaysia," katanya.

Di Dewan Rakyat semalam, Muhyiddin berkata beliau adalah seorang Melayu tetapi sebagai seorang Melayu, itu tidak bererti beliau bukan seorang rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab cabaran penasihat DAP Lim Kit Siang yang memintanya supaya menyatakan sama ada beliau "Malaysian first, Malay second" sebagai bukti beliau menyokong konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib.

Muhyiddin juga berkata Lim berniat jahat dan mahu menjejaskan hubungannya dengan Najib.

Mengenai Model Ekonomi Baru yang beliau lancarkan dua hari lepas, Najib berkata beliau telah menerima maklumat balas yang positif mengenai pendekatan baru itu yang merupakan arah tuju yang jelas oleh kerajaan.

"Maknanya hala tuju perubahan dan transformasi yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan sudah cukup jelas, tidak kabur lagi.

"Rakyat serta pasaran tahu apa yang dinyatakan mengenai hala tuju dan juga matlamat kesudahannya.

"Apa yang perlu selepas ini ialah di peringkat keduanya, iaitu lebih banyak butiran terutama sekali bidang dan aktiviti utama ekonomi," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata pelaksanaan model itu akan membabitkan tiga fasa yang kesemuanya disasarkan akan dilaksanakan pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain