suria

KPDNKK Serbu Gudang Proses Krimer Tiruan

PADANG BESAR: Sebuah gudang yang dijadikan tempat memproses produk krimer tiruan di sini diserbu pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam.

Pengarah KPDNKK Perlis Mohd A. Aruwan Abdul Aziz berkata dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu, pihaknya merampas 1,000 guni yang setiap satu mengandungi 25 kilogram krimer bernilai RM96,000 dan 70 bungkusan krimer campuran yang mempunyai label jenama terkenal yang setiap satu seberat 300 gram bernilai RM4,480.

Seorang lelaki tempatan berumur 57 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses krimer itu telah ditahan untuk siasatan lanjut, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Perihal Dagangan 1972 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda RM100,000.

Beliau berkata krimer itu dipercayai dibawa masuk daripada luar negara termasuk China dan ia dibimbangi mengandungi bahan yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

A.Aruwan berkata bungkusan krimer yang dirampas antara lain diletakkan label jenama terkenal yang dipercayai untuk dipasarkan di Thailand. - BERNAMA

Artikel Lain