suria

Lima Lelaki Termasuk Seorang Warga Nigeria Ditahan Miliki Dadah

KUALA LUMPUR: Lima lelaki termasuk seorang warga Nigeria ditahan polis di tiga lokasi berasingan di sekitar ibu negara kerana memiliki dan mengedar pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM230,000.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11.45 pagi, 26 Mac lepas, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 36 tahun di sebuah unit pangsapuri di Jalan Kuching dipercayai dijadikan pusat membungkus pelbagai jenis dadah.

Turut dirampas beberapa jenis dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 2.2 kilogram (kg), ganja (1 kg), syabu (5.50 gram) dan erimin 5 (60 biji) yang kesemuanya bernilai kira-kira RM120,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner (ACP) Kang Chez Chiang berkata kedua-dua suspek itu yang positif dadah jenis syabu dan ganja, dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Kelang sejak tiga bulan lalu.

"Suspek berusia 32 tahun itu merupakan seorang duda, mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit dadah, manakala suspek berusia 36 tahun itu pula sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak serta mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit dadah," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini.

Beliau berkata turut dirampas wang tunai berjumlah RM2,473, lima telefon bimbit pelbagai jenis, sebuah buku cek dan dua alat penimbang yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan reman selama enam hari bermula 27 Mac sehingga 1 April depan.

Sementara itu dalam kes berasingan, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan di sebuah restoran di Jalan Sungai Besi kira-kira pukul 6 petang, 28 Mac lepas kerana memiliki 10 peket dadah disyaki syabu seberat kira-kira 257.4 gram yang dianggarkan bernilai RM90,000.

Kedua-dua suspek itu didapati positif syabu dan dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar ibu negara sejak setahun lalu.

"Seorang suspek bekerja sebagai tukang cat dan mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit dadah, manakala rakannya pula seorang duda dan bekerja sebagai tukang kayu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau bersabit kes curi, rompak, ugut dan cubaan merompak," katanya.

Kang berkata turut dirampas wang tunai bernilai RM1,160, dua telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Waja dipercayai milik salah seorang daripada suspek.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam sehingga 4 April depan.

Sementara itu seorang lelaki warga Nigeria berusia 29 tahun ditahan polis pada hari yang sama kira-kira pukul 5 pagi di sebuah rumah sewa di Taman Pusat Kepong di sini dan merampas dua bungkus plastik berisi dadah disyaki kokain yang dianggarkan seberat 60 gram dengan nilai kira-kira RM20,000.

Katanya suspek memasuki negara ini sejak Januari tahun lepas namun suspek mendakwa pasportnya telah hilang.

Suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 3 April depan dan kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain